Thursday, February 21, 2019

Hope For The Hopeless.


(gambar dari : https://www.flickr.com/photos/robotslikecandy/6153601919)


Jika hendak dijaga, kita mestilah terlebih dahulu menjaga.

“Boleh beritahu aku, cara mudah untuk dapat sesuatu yang terbaik?”

“Nak dapatkan apa?”

“Cinta, kasih sayang, bahagia?”

“Bagi aku, kalau nak dapat sesuatu, kita kena beri sesuatu. Nak dijaga, kita mestilah menjaga.”

“Maksud kau?”

“Hendak dijaga dalam cinta, kita kenalah menjaga cinta kita kepada-Nya. Jika hendak mendapat cinta yang baik, kita perlu berikhtiar untuk menjaga kesucian diri, menjaga kebersihan hati, dan menjaga budi pekerti. Kerana cinta yang baik itu untuk orang yang baik. Baik yang dinyatakan sudah tentulah baik dalam pandangan Tuhan, iaitu orang yang menjaga perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.”

“Oh. Lagi?”

“Hendak dijaga dengan penuh kasih sayang, kita kenalah menjaga diri dari membenci. Kadang-kadang kita mahu orang baik dengan kita, tetapi diri kita sendiri jarang-jarang mahu berbaik dengan orang lain, jarang-jarang mahu bersangka baik dengan perbuatan orang lain. Kita perlu berhenti dari bersikap prasangka.

“Janganlah asal orang buat salah sediki, kita sudah menjatuhkan macam-macam hukum tanpa mahu mengetahui sebab dan alasan seseorang, tanpa mahu memberi seseorang peluang untuk menjelaskan keadaan. Ketika kita nampak salah orang, lekas-lekas kita mengelaskan seseorang itu sebagai jahil, ahli neraka, tak layak masuk syurga dan sebagainya. Jika kita mudah menjatuhkan hukum pada orang lain, jangan terkejut suatu hari nanti orang lain pun akan menjatuhkan hukum pada kita.”

Dia mengangguk-angguk sambil memegang dagunya seolah-olah berfikir tentang sesuatu secara mendalam.

“Ada lagi pesanan?”

“Yang paling penting sekali, kita perlu menjaga perintah Allah. Patuh segala suruhan-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Dengan itu, inshaAllah kita akan sentiasa dijaga-Nya, bukan hanya di dunia tetapi juga sehingga akhirat kelak. Wallahualam.”

“Baik. Aku akan cuba.”

Memberi dan menerima. Jika kita mahukan sesuatu yang baik, kita perlulah juga melakukan kebaikan.

Wednesday, February 20, 2019

Love, Loss, and Legacy.


(drawing from : http://www.drawingskill.com/art/55757)

Memang tak ada janji atau peraturan kalau kita buat baik pada orang, orang akan buat baik pada kita. Tak semua orang pandai membalas kebaikan dengan kebaikan.

“Kau kenapa kebelakangan ni lain macam je aku tengok?”

“Lain macam apanya?”

“Macam tak ceria je?”

“Aku kecewa.”

“Kenapa?”

“Dia yang aku jaga, aku sayang, sekarang dah tak jadi milik aku lagi. Apa perasaan kau kalau bila buah atau bunga yang kau tanam, yang kau penat-penat jaga, yang kau sayang sangat-sangat, tiba-tiba esoknya bila buah tu dah ranum, bila bunga tu dah mekar, ada orang petik, ada haiwan ambil. Kau marah tak?

“Mesti kau marah. Mesti kau kecewa. Mesti kau sedih. Dalam hati akan bertanya kenapa benda yang susah payah kau jaga, orang lain yang dapat manfaatnya.”

Saya diam dan membiarkan dia meluahkan apa yang dia rasa.

“Macam itulah yang aku rasa sekarang. Seseorang yang aku suka, yang bila dia sedih aku akan jadi tempat dia berkongsi kesedihan, aku bagi semangat pada dia, aku jaga hati dia baik-baik. Bila dia dah kembali bersemangat, dah kembali ceria, kembali tenang, tiba-tiba dia jatuh cinta pada orang lain. Mestilah kecewa. Marah. Sedih. Kenapa aku yang susah payah jaga perasaan dia, orang lain yang dapat meraih cinta dia?”

Seketika saya ternampak matanya berkaca. Bersungguh dia cuba menahan air matanya dari mengalir.

“Sabar. Pejam mata. Tarik nafas. Sebut nama Allah sejenak.”

Seperti anak kecil, dia mengikut kata-kata saya. Memejam mata dan menarik nafas. Bibirnya kumat-kamit seperti menyebut sesuatu tetapi kurang jelas kedengaran.

“Aku rasa kau lupa sesuatu yang penting kat sini. Aku tak nafikan perumpamaan kau berkenaan bunga dan buah tu betul. Dan aku mungkin akan marah dan kecewa kalau bunga dan buah yang aku tanam kena curi orang. Tapi kita perlu juga bertanya pada diri sendiri, bunga dan buah yang kita tanam tu, tanahnya milik siapa? Siapa yang mengizinkan bunga dan buah kita tumbuh mekar? Begitu juga dengan semua perkara. Harta yang ktia ada, perasaan sesama manusia. Orang yang kita sayang dan jaga perasaannya tu, hatinya siapa yang pegang?

“Tak ada jawapan lain melainkan Allah, pemilik segala apa yang ada di langit dan di bumi. Jadi, kita kena ikhlas dalam berbuat sesuatu. Mungkin Allah nak ajar sesuatu. Mungkin Allah nak kita tahu tak semua yang kita harapkan akan jadi kenyataan. Mungkin Allah nak kita tahu tanpa keihklasan segala perbuatan akan mendatangkan penat lelah. Mungkin Allah nak kita tahu yang indah di dunia itu sementara. Dan yang paling penting Allah nak ajar kita tentang menjadi hamba, bahawa takdir tetap milik Dia walau impian itu milik kita.

“Maka berlapang dadalah. Sesuatu yang akan jadi milik kita, walau sukar mana pun, kalau Allah izinkan jadi milik kita, pasti akan jadi milik kita akhirnya. Tapi kalau sesuatu tu bukan milik kita, walau datangnya sesenang apa pun, kalau Allah dah tentukan takkan jadi milik kita, maka tak akan pernah jadi milik kita.”

Dia sekadar diam mendengar kata-kata saya. Mungkin sedang bermuhasabah. Perlahan, dia mengelap matanya yang berkaca.

“Terima kasih kerana menyedarkan.”

“Demi masa, kita ni dalam kerugian, melainkan yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran, kan?”

“Betul.”

“Sudahlah, jangan sedih-sedih lagi ya.”

Kita cuma mampu berharap kalau kita buat baik, akan ada kebaikan yang lain untuk kita. Dan lebih bagus kalau kita buat sesuatu kebaikan, balasan yang kita harapkan bukan daripada orang tapi daripada Allah. Kerana selalunya, inshaallah, balasan daripada Allah itu jauh lebih baik.

Thursday, January 24, 2019

Take Me To Mosque.


( source for picture : http://www.m1key.me/photography/egypt_1/ )

Good God, command me to be well. I know I should've worshiped You sooner, but please, give me a good death.

Amin. Amin. Amin.

Tuesday, January 22, 2019

Catastrophe And The Cure.



No matter what happened, keep your heart close to the God.


"Kita dah banyak bercakap soal luka, soal sembuh, kan?"

"Yup."

"Tapi susah nak betul-betul sembuh dari luka, kan?"

"Ya."

"Kenapa agaknya ya?"

"Sebab kita manusia mudah lupa, dan cenderung untuk melakukan perkara yang sama berkali-kali."

"Itulah. Macam manalah nak kuat kalau asyik melakukan perkara yang melukakan kita berkali-kali kan."

"Cuba awak tengok bunga dan bulan."

"Kenapa dengan bunga dan bulan?"

"Bunga sentiasa mekar dan indah. Kenapa?"

"Entah."

"Sebab bunga tu selalu setia pada tangkai."

"Oh. Bulan pula?"

"Kenapa bulan selalu cantik dan bercahaya?"

"Hurm. Kenapa ya?"

"Sebab bulan tu selalu setia pada langit."

"Jadi apa kaitan bunga dan bulan dengan kita manusia ni?"

"Bunga indah sebab setia dengan tangkai. Bulan cantik sebab setia dengan langit. Manusia, akan kuat kalau sentiasa taat kepada Allah. Bunga bila gugur dari tangkai, dah tak indah, kan? Bulan kalau timbul di laut, rasanya akan cantik tak? Bunga dan bulan tu ada tempatnya yang buat bunga dan bulan tu elok. Jadi kita manusia kena balik kepada apa yang buat kita kuat, iaitu Allah. Inshaallah kita takkan apa-apa kalau selalu dekat pada Dia."

"Oh...faham. Terima kasih."

Saturday, January 19, 2019

Support System.

Masa tak pernah menyembuhkan luka. Masa cuma membuatkan kita biasa atau lali dengan luka. Masa tak akan dapat menyembuhkan luka. Masa sekadar memberi ruang untuk kita sedar dan belajar sesuatu. Masa, mahu kita kembali bermuhasabah tentang diri sendiri.

"Saya dah agak awak ada kat sini."

Suara itu tidak mengejutkan saya walau sebenarnya saya terfikir juga dalam sesaat dua kenapa tiba-tiba ada suara muncul di tempat sebegini.

"Awak ni macam watak dalam drama romantik sedih la. Asal sedih je pergi taman bunga."

Saya masih tidak memberi respon untuk kata-katanya walau sebenarnya dalam hati saya sedikit tersenyum dengan jenakanya.

"Alaaa kenapa senyap pula ni. Malaslah kawan."

Kali ini saya hampir ketawa, tapi saya tahan sekuatnya. Emosi sedih saya lebih kuat berbanding lucu.

"Kenapa susah payah datang sini?"

"Sebab nak cari awaklah. Dari semalam tak balas mesej. Lama dah ke kat sini?"

"Ya, lama juga. Dari pagi tadi. Sempat jogging banyak langkah." Tapi sejauh mana pun saya melangkah, saya tak boleh lari dari kesedihan. Ayat itu saya tahan dari terkeluar dari landasan lidah.

"Hmmm sabarlah ye awak."

"Eh saya okay saja. Alhamdulillah lepas tengok bunga-bunga kat sini, hati saya agak lapang kembali."

"Bunga-bunga tu menyanyi untuk awak ke?" Dia cuba berjenaka. Dan jenakanya memang lucu, tapi itulah, susah untuk saya ketawa buat masa ini.

"Taklah bercerita. Cuma, melihat bunga tu, ada yang gugur, ada yang mekar, buat saya terfikir tentang sesuatu. Bunga yang mekar indah tu, akhirnya akan gugur juga. Dan sesudah gugur, akan tumbuh kuntum yang lain pula, yang mungkin lebih cantik dan harum berbanding yang telah gugur.

"Saya jadi ralat. Kenapa saya nak bersedih sangat tentang apa-apa yang berlalu, tentang apa-apa yang saya terlepas, tentang apa-apa yang saya tak dapat capai sedangkan saya masih bernafas, masih ada kudrat untuk buat sesuatu yang lain."

"Alhamdulillah maknanya awak okay jelah ni kan? Okay bye saya nak tinggalkan awak." Dia buat-buat mahu melangkah dari taman ini.

"Kejap, saya nak ikut."

"Haaa tahu pun nak balik. Ingatkan nak bertapa kat sini sampai tak sedih."

"Jum temankan saya makan."

"Lapar ye? Taknak makan kat kenduri si dia ke?" Dia bercakap sambil keningnya turun naik. Oh, pandai mengusik ya?

"Tak mahulah. Dah lewat dah pun ni."

"Haha saya saja mengusik. Maaf ya."

"Tak apa, bukan selalu."

Sekali bunga gugur dari pokok, tak bermakna takkan ada bunga lain akan tumbuh, kan? Asal pokok itu tetap kuat mencengkam tanah yang merupakan support system utama, inshaallah pokok itu akan dapat sumber yang secukupnya untuk menghasilkan bunga yang lain, yang lebih indah dan wangi. Sama macam manusia. Hari ni sedih, tak bermakna selamanya akan sedih. Asal kita tak jauh dari Allah, inshaallah Dia akan beri kita bahagia.

Masa tidak pernah menyembuhkan luka. Masa cuma memberi ruang dan peluang untuk kita menyedari, mengetahui, dan mempelajari sesuatu, bahawa kadangkala penawar yang kita cari, ada pada Tuhan, ada pada diri kita sendiri.

Hope For The Hopeless.

(gambar dari : https://www.flickr.com/photos/robotslikecandy/6153601919) Jika hendak dijaga, kita mestilah terlebih dahulu menjaga....